Mourinho bergaduh dengan Woodward

Mourinho bergaduh dengan Woodward

 
LONDON 5 Ogos - Jose Mourinho bertelagah dengan Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward hanya lima hari sebelum musim baharu Liga Perdana Inggeris membuka tirai pertandingan.

Ketika jendela perpindahan bakal ditutup Khamis ini, iaitu 24 jam sebelum United mengharungi perlawanan pembukaan menentang Leicester di laman sendiri, Mourinho masih gagal mendapatkan dua pemain yang mahu ditandatanganinya dan dia juga kecewa terhadap layanan Woodward yang kurang memberikan sokongan sepanjang jelajah Amerika Syarikat (AS).

Difahamkan, semalam Mourinho telah bertembung dengan Woodward di dalam terowong stadium selepas United beraksi dalam perlawanan terakhir di Miami yang merupakan pertemuan pertama mereka sepanjang 17 hari lawatan di AS.

Woodward telah ke bilik persalinan di Stadium Hard Rock untuk berjabat tangan dengan pemain, dan dia melakukan perkara sama sebelum berangkat pulang ke Manchester.

“Sepertinya Ed sedar bahawa dia perlu menunjukkan lebih sokongan, tetapi malang sekali semua itu sudah terlambat.

“Semua orang boleh melihat bahawa Jose keliru dengan ketiadaan Ed. Dia tidak pernah berdepan pengalaman seumpama itu sebelum ini. Jose jelas kecewa sepanjang di AS, dan orang lain mula memahami dia ada sebab untuk berasa demikian,” kata sumber dalaman kelab.

Hubungan tegang antara dua individu penting di Old Trafford itu menjadikan persediaan musim baharu United untuk mencabar juara bertahan Manchester City dan pasukan besar lain sedikit terganggu.

Mourinho jelas hampa apabila dia terpaksa mengetuai jelajah berprofil tinggi ke AS dengan skuad yang serba kekurangan, dan tanpa jaminan Woodward untuk menandatangani pemain baharu, pengurus tersebut masih berharap perubahan berlaku sebelum pintu perpindahan ditutup.

Dia begitu terdesak untuk membawa masuk bek tengah yang baharu, tetapi United mungkin bakal terlepas untuk membeli Harry Maguire dari Leicester dan kelab itu juga masih belum mengemukakan tawaran rasmi kepada pemain Barcelona, Yerry Mina. – AGENSI



Sumber: utusan


close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==