Tiga rakaman suara mirip Anwar tersebar

Tiga rakaman suara mirip Anwar tersebar

 
SHAH ALAM - Hari ini tersebar tiga rakaman suara mirip Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan tidak puas hati dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun masih tidak dapat dipastikan kesahihan rakaman suara itu dan Sinar Harian masih mencuba untuk mendapatkan respons individu yang dikaitkan.

Tiga rakaman suara itu berdurasi lapan saat dan dua lagi masing-masing berdurasi sembilan saat.

Transkrip penuh untuk rakaman suara berdurasi lapan saat adalah seperti berikut; "Tak la sebab tu i (saya) suruh Rafizi lawan Azmin sebab Azmin dah jadi barua kepada Mahathir ini pasai (sebab) apa.”
Transkrip penuh untuk rakaman suara berdurasi sembilan saat pula adalah seperti berikut; “Dia lantik diri dia jadi Pengerusi Khazanah (Nasional Berhad)... Apa ni. Rakyat rugi, MAS (Malaysia Airlines) rugi, Khazanah rugi.”
 
Bagi rakaman suara yang terakhir, transkrip penuhnya pula adalah; "Dulu dia tuduh saya liwat, dia jangan lupa apa jadi kepada kes Forex dia RM30 bilion.”

Baru-baru ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden dan mengemukakan empat sebab berhubung tindakannya itu.

 Isnin lalu, Dr Mahathir dilantik menjadi Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang baru berkuatkuasa serta-merta.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilantik sebagai pengarah bersama Tan Sri Mohd Hassan Marican.
 
Pada November tahun lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kerugian dialami Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing pada 1990-an percaya bahawa perdana menteri ketika itu merelakan tindakan menteri kewangan pada masa itu yang mengakibatkan bank pusat mengalami kerugian berjumlah RM31.5 bilion.

Suruhanjaya itu juga berpandangan, menteri kewangan ketika itu sengaja menyembunyikan fakta dan maklumat serta membuat kenyataan mengelirukan kepada Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

Pada 1998 pula, Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.




Sumber: sinarharian

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==